rembau1

PERNAH menjadi sebuah kerajaan digeruni kerajaan lain, gigih menentang sebarang bentuk penjajahan.

Sebut sahaja 'saya orang Rembau', pasti orang ramai akan mengaitkannya dengan lagu Rembau Most Wanted nyanyian Waris.

Malah, tak kurang juga mengaitkannya dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin ataupun Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana kedua-duanya pemimpin ini berasal dari Rembau.

Bagaimanapun, ramai yang tidak mengetahui nama Rembau sebenarnya berasal dari nama sebatang pokok iaitu pokok merbau yang mana menurut orang-orang tua dahulu, saiz pokok itu sebesar 40 pemeluk lelaki dewasa.

Malah, tidak kurang juga ada versi lain menyatakan besar batang pokok merbau yang tumbuh di tapak kaki Gunung Datuk itu bersamaan 40 jamba atau dulang disusun dalam satu barisan.

 

 rembau2


Dulu dikenali Kampung Merbau Tua

Menurut penulis serta penyelidik bebas adat dan warisan di negeri ini, Mohd Khairil Hisham Mohd Ashaari, 46, asal usul nama Rembau diperoleh dari nama pokok Merbau yang terletak di sekitar Batang Nyamor, Kota.

"Pokok itu dipercayai terlalu besar dan tinggi. Pada sekitar abad ke-14, kawasan hutan masih lagi terpelihara dan tidak mustahil sekiranya terdapat pokok sebesar itu.

"Dipercayai juga, pokok merbau ini menaungi beberapa buah perkampungan sehingga ke Sungai Ujong," katanya.

Menurut Mohd Khairil, pada 1502, Batin Pak Nilu membuka Hutan Gombira di kawasan Kampung Kota untuk dijadikan kawasan perkampungan Datuk Bungkal Batin Sekudai yang merupakan anak angkat Datuk Lateh.

“Datuk Lateh merupakan pembesar pertama yang datangnya dari seberang pada abad ke-15 iaitu sekitar 1490-an dan menetap di perkampungan Orang Asli Kampung Relong, yang menjadi tempat tinggal Batin Sekudai.

Mohd Khairil berkata, pada 1502, Batin Cepa iaitu ayah kepada Batin Pak Nilu dan bapa mertua Batin Sekudai turun dari Rasah bagi membantu menebang pokok merbau tersebut.

 “Tidak lama kemudian, Batin Cepa meninggal dunia dan dikebumikan di Kampung Gombiro yang kini dikenali sebagai Kampung Kota Lama. Pada mulanya, nama kampung berkenaan dipanggil sebagai Kampung Merbau Tua.

“Namun, bagi meringkaskan sebutannya, penduduk menyebut Kampung Merbau sahaja. Lama-kelamaan sebutan itu bertukar kepada Rembau dan mengapa sebutannya bertukar tidak dapat dipastikan," katanya.

 rembau3

Rembau sebuah kerajaan digeruni

Kata Mohd Khairil, mengikut Wilkinson dalam laporannya pada 1955, Rembau awalnya bernama Prabu iaitu satu istilah Sanskrit-Jawa yang membawa maksud daulat, yang dipertuan dan anak raja pada abad ke-13.

Menurutnya, nama berkenaan kemudiannya ditukar selepas penemuan pokok merbau yang besar semasa pembukaan penempatan di Kampung Ghombiro pada 1520 kepada Kampung Merbau Tua.

“Pada 1540, nama kampung diringkaskan dan akhirnya disebut sebagai Rembau. Dalam persejarahan negeri-negeri Melayu, Rembau adalah sebuah kerajaan kecil yang agak tua di Semenanjung Tanah Melayu dan mengamalkan adat Perpatih.

“Sebagai sebuah kerajaan berdaulat, lebih satu abad masyarakat Rembau gigih menentang sebarang bentuk penjajahan oleh kerajaan-kerajaan besar Melayu dan juga kuasa Barat," katanya.

Menurutnya, sikap tegas pemerintah ketika itu menyebabkan kerajaan Rembau disegani dan digeruni sehingga pada 1795, Inggeris terlebih dahulu menjalani persahabatan dengan kerajaan Rembau,  sesuatu yang tidak dilakukan ke atas kerajaan Melayu lain.

“Zaman Keagungan Rembau sebagai sebuah kerajaan dicatatkan pada 1540 hingga 1832. Bayangkan, pada1586, Rembau sebagai sebuah kerajaan membantu Johor menyerang Portugis di Melaka dan berjaya menawan tebing Sungai Melaka serta menyekat bahan makanan masuk ke bandar Melaka.

“Dalam beberapa siri pertempuran, Rembau berjaya mengalahkan penjajah Portugis, namun sebaik tiba di Tengkera, Melaka, Rembau diserang sedangkan pada masa itu sepatutnya tentera dari Jawa dan Acheh datang membantu pertahanan Rembau," katanya.


Kaya dengan hasil bumi

Tambah Mohd Ashaari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Koleksi Daerah Rembau, kebanyakan penyelidikan mengenai Rembau telah dilakukan oleh Allahyarham Profesor Dr Norhalim Ibrahim sejak 1980-an lagi.

“Saya hanya meneruskan apa yang telah diusahakan Allahyarham sebelum ini," katanya.

Tambah Mohd Khairil, dia kini baru sahaja membuat kajian bersama sebuah jabatan kerajaan berdasarkan penemuan maklumat sejarah buruh di negara ini.

“Malah, dipercayai masyarakat di Rembau mengusahakan sendiri pelombongan emas tanpa meminta bantuan pelombong Cina.  Orang Melayu sendiri yang usahakan dengan menggunakan kaedah melampam.

“Selain itu, berdasarkan laporan Syarikat Hindia Timur Belanda pada 1787, Rembau turut mengeluarkan sebanyak 120 tan bijih timah pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka.  Rembau kaya dengan hasil bumi dan disebabkan itu, Rembau berjaya muncul sebagai kerajaan yang kuat," katanya.

Menurut Khairil, dia akan terus menjalankan kajian mengenai Rembau memandangkan banyak sejarah mengenainya dapat dikongsi kepada masyarakat.