Seremban, 1 September 2024 (Korporat SUKNS) – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tuanku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, turut berangkat mencemar duli pada majlis berkenaan yang turut disertai lebih 20,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat, di pekarangan Padang Majlis Bandaraya Seremban seawal 6 pagi, dengan ada yang berpakaian bertemakan Jalur Gemilang.
Turut hadir Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Sambutan dimulakan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang dengan iringan Lagu Negaraku, pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Tuanku Muhriz dan bacaan doa oleh Mufti Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin.
Istiadat Kawalan Kehormatan Utama (KKU) terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Lain-lain Pangkat daripada Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diketuai Mejar Muhammad Hazim Abdul Ghalib, Pegawai Panji-panji Lt Muhamad Khaliq Nasrudin dan Sarjan Mejar Rejimen PWI Bilal Harun.
KKU diiringi Pancaragam Gabungan Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (MEKENIZA) dan Batalion Ke-24 RAMD yang dipimpin oleh Drum Major PW2 Mohd Saiful Mohd Haniff dengan iringan muzik termasuk lagu Pahlawanku, Perwiraku, Gagah Setia dan Lemak Manis.
Lafaz ikrar rukun negara turut dibacakan Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun seiiring dengan lima das tembakan meriam melambangkan lima prinsip Rukun Negara.
Seterusnya diikuti acara yang dinanti-nantikan iaitu persembahan kebudayaan dan keseniaan serta seni bela diri dan acara perbarisan 80 kontinjen yang merangkumi 5,000 peserta terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pentadbiran daerah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah, institut pengajian tinggi serta syarikat swasta.
Menggamatkan acara sambutan pada setiap tahun adalah perarakan aset yang terdiri daripada aset Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta beberapa aset jabatan dan agensi kerajaan yang lain.
Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Sembilan kemudian diakhiri dengan persembahan khas yang melibatkan artis, Farhan Azizan dan Suki Low serta kumpulan kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS).
Aminuddin ketika ditemui pemberita selepas majlis itu menzahirkan penghargaan dan kekagumannya apabila melihat lebih 20,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan kali ini biarpun dalam keadaan hujan awal pagi tadi.
“Walaupun tempat agak terhad, namun saya gembira kerana mereka bukan datang melihat semata-mata tetapi mahu raikan erti kemerdekaan itu. Semangat patriotik inilah yang perlu dikekalkan sampai bila-bila.
“Rakyat sanggup turun seawal 5 ke 6 pagi, sebelum ini pun raptai ramai yang hadir, malam tadi program ambang merdeka di Jelebu juga ramai hadir, jadi kita lihat ia telah berubah, jiwa merdeka mereka berkobar-kobar,” katanya.
Selain perarakan aset agensi pertahanan dan kenderaan berhias yang sentiasa dinantikan pengunjung, turut mencuri tumpuan pada Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Sembilan kali ini ialah perarakan 30 kereta klasik yang julung kali dipertontonkan.
Dibawakan khas daripada Kelab Kereta Klasik dan Antik Negeri Sembilan, kesemua kereta keluaran seawal 1957 antaranya Austin, Morris Minor, Mini Minor, Volkswagon atau Karman Ghia, Volvo dan Datsun Blue Bird itu dipandu sendiri oleh ahli kelab yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 80-an.
Sumber : SUKNS